GEORGE TOWN: Rakaman video seorang lelaki memberi minuman tin dipercayai
arak kepada seorang bayi tular di media sosial hari ini sehingga menimbulkan
kemarahan banyak pihak.
Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan seorang lelaki memangku bayi
berkenaan dan memberinya minuman keras itu dari tin yang tertera jenama arak
tersebut.
Insiden itu didakwa berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang, Balik Pulau,
Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshel
berkata, pihaknya telah membuat satu laporan polis di Perai selepas melihat
kiriman video tersebut.
Menurutnya, laporan dibuat agar pihak polis menjalankan siasatan terhadap
pelaku dan mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah peruntukan
undang-undang.
"Perbuatan terkutuk ini harus dihentikan dan bayi tersebut juga perlu
dijauhkan daripada lelaki yang tidak bertanggungjawab itu," katanya dalam
satu kenyataan pada Selasa.
Dalam masa sama, pihaknya turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan segera bagi melakukan pemeriksaan
dan membuat ujian darah terhadap bayi itu untuk memastikan dia tidak
terdedah dengan kandungan alkohol. – Awani
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel