PETALING JAYA: Najib Razak berkata, langkah membenarkan pengeluaran simpanan
menerusi skim i-Lestari dan i-Sinar terbukti tidak memberi impak amat besar
kepada pelaburan dan pulangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan itu juga tidak menjejaskan
prestasi KWSP pada akhir 2020 dan suku pertama 2021.
Jika kerajaan terus membenarkan pengeluaran i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 pada
kadar separuh daripada jumlah yang dibenarkan sebelum ini bagi membantu rakyat
terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, katanya, ia masih boleh
mengawal kesan pelaburan dan pulangan KWSP.
“Sekiranya i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 dibuat pada kadar separuh berbanding
dahulu pun, impaknya masih boleh dikawal sebagaimana dibuktikan i-Sinar dan
i-Lestari 1.0,” katanya dalam catatan di Facebook.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz semalam
berhubung pandangan pelbagai pihak mengenai kesan membenarkan pengeluaran
simpanan KWSP.
Katanya, KWSP dan kementeriannya sentiasa mendengar luahan serta keluhan
rakyat, termasuk menjemput “influencer”, peserta daripada kumpulan Facebook
yang khusus memfokuskan i-Sinar, i-Lestari dan bantuan kerajaan lain.
“Pada masa sama, ada juga pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik
kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen dan simpanan hari tua rakyat
tergugat disebabkan kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran dari
KWSP.
“Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah, ada pelbagai suara menyokong dan
membantah. Kami akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi
keperluan semua pihak.”
Najib mengingatkan kerajaan supaya tidak hanya mendengar pandangan
“influencer”.
Join our Telegram Channel