Siapa sangka, tindakan Cristiano Ronaldo mengalihkan botol Coca-Cola pada
sidang media menjelang pertarungan dengan Hungary yang lalu telah
mengakibatkan kerugian yang besar buat syarikat pengeluar air terbesar dunia
tersebut.
Tetapi itulah hakikatnya jika anda seorang pemain ternama dan mempunyai
reputasi untuk menganggu ‘ekonomi’ sebuah institusi.
Dipetik dari Give Me Sport, Ronaldo yang menjaringkan dua gol pada perlawanan
menentang Hungary di peringkat kumpulan Euro 2020 semalam telah mencetuskan
keributan di media sosial.
Pada sidang media sebelum perlawanan, dia telah bertindak mengalihkan dua
botol minuman berkarbonat dan menggantikannya dengan sebotol air kosong
berjenama Aqua.
Bintang Portugal berusia 36 tahun terbabit sebelum ini terkenal dengan
sikapnya yang tidak gemar dengan minuman ringan bergula.
Sikapnya yang mementingkan tubuh badan yang sihat dan fizikal yang baik pernah
tular sebelum ini apabila dia bertindak memarahi anaknya kerana gemar makan
atau minum produk makanan ringan.
Bagi Ronaldo, tabiat itu buruk dan tidak baik untuk kesihatan badan.
Apa yang menariknya, tindakan Ronaldo mengalihkan dua botol Coca-Cola pada
sidang media Euro 2020 telah memberi kesan negatif kepada jenama tersebut.
Marca melaporkan saham syarikat jenama minuman terbesar di dunia itu mengalami
kerugian akibat daripada tindakan Ronaldo.
Kerugian yang dicatatkan bukanlah sedikit, tetapi melibatkan berbilion dolar.
Dalam laporan terbabit, Marca mendakwa bahawa Coca-Cola yang mulanya
mencatatkan nilai sebanyak USD$ 242 bilion akhirnya terpaksa akur dengan
kejatuhan nilai ke paras USD$ 238 bilion.
Ini bermakna, tindakan kecil Ronaldo dengan mengalihkan dua botol minuman
tersebut telah menyebabkan syarikat tersebut kerugian sebanyak USD$ 4 bilion.
Sebelum ini, saham Coca-Cola merekodkan USD$ 56.10 dolar sewaktu pasaran saham
dibuka pada pukul 3 petang di Eropah.
30 minit kemudian, semasa Ronaldo dan Fernando Santos hadir ke ruang sidang
media di Stadium Puskas Ferenc di Budapest, saham syarikat tersebut dilaporkan
turun ke paras terendah iaitu USD$ 55.22 sesaham.
Sejak insiden terbabit, Coca-Cola yang juga penaja utama Euro 2020 masih belum
memberikan apa-apa maklum balas mengenai tindakan Ronaldo. UEFA juga mengambil
sikap berdiam diri dan tidak mengeluar apa-apa kenyataan.
Please subscribe
Join our Telegram Channel