Wanita Bersatu JB tempang, 4 lagi letak jawatan



JOHOR BAHRU: Selepas pengerusi tetap dan timbalannya bersama enam ahli jawatankuasa (AJK) Wanita Bersatu Bahagian Johor Bahru meletak jawatan, empat lagi AJK sayap parti itu mengikut jejak langkah sama.

Mereka adalah Penolong Setiausaha Wanita Bahagian, Sulhaza Sulieman dan tiga AJK iaitu Hafsah Ahamed, Nur Diana Abdul Halim dan Puteri Firdaus Aswad Megat, menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan Bersatu, semalam.


Ini menjadikan keseluruhan 12 AJK melepaskan jawatan, meninggalkan hanya ketua Wanita Bahagian, naibnya, penolong bendahari dan ketua penerangan serta seorang AJK yang masih membarisi jawatankuasa sayap bahagian itu.

Berdasarkan surat bertarikh 20 Jun yang dilihat FMT, ia turut diserahkan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dan Ketua Wanita Rina Mohd Harun.

Terdahulu, FMT melaporkan Pengerusi Tetap Wanita Bersatu Bahagian Johor Bahru, Masazlina Bachok dan timbalannya, Khairunnisah Ali mengumumkan peletakan jawatan mereka berkuatkuasa semalam.

Turut sama meletak jawatan enam AJK Wanita bahagian itu.


Dalam surat itu, Masazlina mendakwa peletakan jawatan mereka antara lain dilakukan kerana Ketua Wanita Bahagian Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif tiada ketelusan dalam kepimpinan.

Beliau berkata, Azlinda yang juga setiausaha politik kepada perdana menteri bertindak lepas tangan dalam sesuatu masalah dan menganggap remeh setiap perkara dibangkitkan selain kepimpinan berat sebelah.

“Suara akar umbi juga kurang mendapat perhatian seolah-olah wujud pentadbiran kayangan. Begitu juga mengamalkan perpecahan dalam parti dan mengetepikan perlembagaan parti yang menerapkan nilai penyatuan,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram