Bekas setiausaha Bersatu Arau didakwa pecah amanah, tipu, mencuri



Kangar: Bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas enam pertuduhan membabitkan pecah amanah, tipu dan curi pada 2019.

Tertuduh, Ismarizal Abd Rahman, 50, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Terdahulu, tertuduh yang ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau tiba di perkarangan mahkamah diiringi polis sekitar jam 9 pagi.


Bagi pertuduhan jenayah menipu, tertuduh didakwa menipu Juwanda Jamaludin, 51, dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan projek pembangunan daripada agensi kerajaan dengan cara membuat bayaran kepada penama Amran Putera Asmuni, 48, bagi tujuan melobi dan mendorong Juwanda Jamaludin menyerahkan wang tunai berjumlah RM800, RM2,500, RM5,100 dan RM1,000 kepada tertuduh dimana mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian oleh tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Ban Yick (Arau) Sdn Bhd dan Kedai Ban Seng Emas Enterprise Cawangan Arau pada 11, 14, 19 dan 30 September 2019.

Bagi pertuduhan curi pula, tertuduh didakwa mencuri seutas loket emas seberat 27.56 gram berharga lebih kurang RM6,223.48 milik Juwanda Jamaludin antara jam 9 pagi hingga 5.30 petang di Kedai Ban Seng Emas Enterprise cawangan Arau pada 6 Januari 2020.


Bagi pertuduhan pecah amanah, tertuduh yang diamanahkan sebanyak 11,594 beg minyak masak bernilai RM34,782 didapati melakukan kesalahan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan dimana secara curangnya menyalahgunakan harta itu dengan menjual harta berkenaan di No 10, Taman Desa Pauh, Arau antara 3 Mei hingga 13 Jun tahun ini.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420, 379 dan 406 Kanun Keseksaan kerana menipu, curi dan pecah amanah.

Bagi kesalahan menipu dan pecah amanah, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan denda manakala bagi kesalahan mencuri pula tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan.

Mahkamah menetapkan 3 September hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM21,000 bagi semua pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh namun tertuduh didapati gagal membayar denda berkenaan dan terpaksa ditahan di Pusat Koreksional Perlis sehingga tarikh sebutan semula kes. – Hmetro



Please subscribe


Join our Telegram Channel
Telegram