Doktor kontrak ugut tak datang kerja jika tak dapat jawatan tetap



PETALING JAYA: Doktor kontrak terpaksa mengambil tindakan drastik dengan tidak bekerja mulai 26 Julai ini jika kerajaan tidak memenuhi tuntutan dalam isu lantikan doktor ke status tetap.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.

Jurucakapnya, Mustapha Kamal A Aziz berkata, mereka mahu kerajaan menyediakan pelan jangka panjang dan pendek untuk doktor kontrak.

Beliau kecewa isu yang berlarutan selama lima tahun itu tiada penyelesaian dan masih tiada perjanjian hitam putih untuk doktor kontrak.


“Ini akan berlaku jika isu pelantikan tetap pegawai perubatan masih menemui jalan buntu. Jika tuntutan ini tidak dilaksanakan dan tiada hitam putih dalam jangka masa tiga minggu, kami terpaksa mengambil tindakan drastik,” katanya dalam sidang media.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba meminta doktor kontrak bersabar sementara isu itu dibincangkan oleh Kabinet dalam masa terdekat.

Sebelum ini, sebuah kumpulan yang mewakili 23,000 pegawai perubatan kontrak memberi amaran akan mengadakan hartal atau mogok pada 26 Julai ini jika masih tiada jalan penyelesaian dalam isu pelantikan mereka secara tetap.

Difahamkan isu jurang gaji RM700 sebulan dan ketiadaan peluang untuk melanjutkan pelajaran, kecuali atas tajaan sendiri yang hanya melibatkan disiplin perubatan tertentu adalah antara perkara yang akan dibangkitkan ketika mogok nanti.


Untuk rekod, sejak 2016, 789 atau 3.4% pegawai dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

Mustapha kecewa dengan kenyataan Adham kerana pandemik Covid-19 menunjukkan doktor kontrak amat diperlukan malah pengorbanan mereka tidak dapat dinafikan semua pihak.

“Namun sehingga hari ini, proses lantikan tetap masih menemui jalan buntu. Proses pemilihan dan jawatan juga masih samar. Kami hanya diberitahu bahawa semua pelantikan bergantung kepada SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam).

“Lebih memburukkan keadaan, kementerian sendiri dilihat memandang enteng dalam membantu menyelesaikan isu ini sekali gus mengakibatkan pelbagai respons negatif pelbagai pihak.” – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram