Kerajaan tubuh RCI siasat Tabung Haji dari 2014 hingga 2020, kata TPM



PETALING JAYA: Kerajaan hari ini bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020, kata Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan itu adalah hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

“Mesyuarat Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari ini telah bersetuju supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat isu berbangkit mengenai TH,” katanya dalam kenyataan.


Katanya, terdapat empat terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri termasuk menumpukan kepada hasil penemuan perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Beliau berkata, yang kedua ialah menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

“Ketiga mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus TH,” katanya.

Ismail berkata, terma keempat pula adalah mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan.


Katanya, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

“Perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, penubuhan RCI adalah wajar bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

“Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan TH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” katanya. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram