KLANG: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menerima sebuah kontena
sejuk beku yang boleh memuatkan 100 mayat pesakit Covid-19 yang telah
disumbangkan oleh Pemuda UMNO Kota Raja bersama adan bukan kerajaan (NGO)
Pertubuhan Integrasi Nasional, hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Sheikh Weshal
Sheikh Ahmad, berkata inisiatif itu diambil selepas pihaknya melihat ruang
pusat simpanan mayat pesakit COVID-19 di hospital berkenaan semakin
kekurangan.
“Selepas melihat sendiri ruang penyimpanan mayat semakin terhad, saya
mendapatkan sebuah kontena sejuk beku yang boleh memuatkan hampir 100 mayat
dalam satu masa dan menghantarnya ke bahagian kecemasan.
“Saya tidak mahu ruang terhad (penyimpanan mayat) menyebabkan mayat berbau
kerana tidak ditempatkan di ruang beku.
“Kita berterima kasih kepada Pengarah HTAR dan pegawai yang menerima sumbangan
kami ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kontena 40 kaki berkenaan disewa pihaknya untuk kegunaan
sementara menunggu kontena ditempah hospital tiba.
“Jika kontena ditempah hospital sudah tiba, kami boleh mengeluarkan kontena
itu jika diminta berbuat demikian, tetapi jika mereka mahu terus
menggunakannya, kami tiada masalah,” katanya.
Sheikh Weshal berkata, pihaknya juga dalam perbincangan untuk menyediakan
beberapa van jenazah bagi kegunaan hospital berkenaan.
Disamping itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kota Raja, Haji Mohd Zaffarollah
Nordin ketika dihubungi SuaraTV, berkata kontena sejuk beku ini berharga RM35
ribu sebuah dan untuk kegunaan Jabatan Forensik HTAR.
“Alhamdululillah, kontena sejuk beku yang berharga RM35 ribu ini selamat ke
Hospital Klang dan di sampaikan oleh Ketua Pemuda Kota Raja.
“Harap ianya mendapat manfaat untuk Jabatan Forensik.” katanya.
Join our Telegram Channel