Mereka buat saya rasa macam penjenayah – Caprice



PETALING JAYA – Penyanyi rap sensasi, Caprice meluahkan rasa kesal apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta pertolongan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan dan berhubung dengannya.

Ujarnya, tindakan PDRM tersebut telah menampakkan dirinya seperti seorang penjenayah dan dikhautiri akan menganggu misinya di Mesir ketika ini.

“Perjalanan saya di sini berjalan lancar tetapi selepas bangun tidur pagi tadi, banyak perkara yang berlaku dan salah satunya ialah Interpol mencari saya.

“Namun peliknya mengapa PDRM sampai minta pertolongan pihak Interpol untuk cari saya di sini. Bagi anda semua, masuk akal tak situasi ini?


“Tindakan mereka menampakkan seperti saya sedang buat jenayah besar dan bahaya,” luahnya dalam satu siaran langsung Instagram malam tadi.

Berkongsi lanjut, Caprice memberitahu keluarga di Malaysia turut bertanya mengenai isu Interpol tersebut kepadanya.

“Pagi tadi ahli keluarga saya juga bertanya banyak soalan mengapa Interpol mencari saya.

“Semua ini pelik bukan? Pihak Kedutaan Malaysia tak hubungi saya sedangkan hampir setiap hari saya keluar makan dengan kakitangan mereka,” ujarnya.

Tambah Caprice, tindakan untuk meminta pertolongan Interpol tersebut juga dijangka akan membuatkan misinya ketika ini terganggu.

“Kalau hendak jatuhkan atau buat orang di sini tidak bekerjasama dengan saya, inilah caranya sebab mereka petik Interpol.


“Semua benda itu akan buatkan misi saya semakin sukar dan banyak halangan selepas ini. Pasti orang di sini akan tertanya-tanya mengapa Interpol memburu saya,” katanya lagi.

Meluahkan rasa kecewa, Caprice juga memberitahu setiap kali usahanya di sana menunjukkan perkembangan baik, pasti ada sahaja halangan yang tiba.

“Saya pelik dan tertanya-tanya mengapa setiap kali ada perkara baik yang berlaku, pasti muncul halangan.

“Kadang-kala saya terfikir bahawa yang hendak menjatuhkan usaha saya bukannya Israel atau pihak lain tetapi orang kita sendiri,” katanya lagi.

Dalam siaran langsung sama, pelantun lagu Baby Sayang itu turut mendedahkan punca mengapa dia tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan masuk ke sempadan Gaza, Palestin.

“Ketika saya dapat kebenaran masuk ke Gaza, dalam surat kebenaran tertulis bahawa saya hanya dibenarkan sampai ke sempadan Rafah sahaja. Letak barang bantuan kemudian pulang semula.


Caprice dicari polis kerana atas laporan yang dibuat oleh Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.


“Jadi inilah sebab saya terlalu beremosi dan marah mengenai misi Gaza dihalang,” katanya yang turut mendedahkan ayahnya pernah bekerja di Kedutaan Malaysia di Jordan sekitar tahun 1996.

Hari ini, Kosmo! melaporkan PDRM telah memohon bantuan Interpol bagi berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan Caprice.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima tarikh untuk mengambil keterangan Nadir Al-Nuri dan Caprice.

“Kita telah memohon bantuan Interpol dan sedang menunggu jawapan daripada pihak Interpol bagi sebarang perkembangan terbaharu,” katanya.

Ashari memberitahu, tindakan tersebut dilakukan berhubung laporan yang dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:

 
Join our Telegram Channel
Telegram