Semua anggota Dewan Rakyat diarahkan supaya membuat akuan kepada Istana Negara
dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai perdana menteri seterusnya.
Ahli-ahli Parlimen mempunyai masa sehingga jam empat petang esok untuk
mengemukakan akuan secara bertulis.
Surat itu mesti disahkan sebagai benar.
Perkara itu dinyatakan melalui surat Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun
kepada semua anggota parlimen pagi ini, atas titah Yang di-Pertuan Agong.
"Adalah dimaklumkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara
43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang ahli Dewan Rakyat
yang di dalam hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli dewan rakyat
sebagai perdana menteri.
"Pada pelaksanaan titah perintah Kebawa Duli Yag Maha Mulis Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada yang
berhormat untuk menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan
jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh yang berhormat
untuk menjadi perdana menteri yang kesembilan," kata Azhar melalui notis
tersebut.
Jelas notis itu lagi, walaupun surat akuan tersebut tidak mempunyai format
yang tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran-butiran berikut:
- Identifikasi anggota parlimen secukupnya.
- Identifikasi yang secukupnya seorang sahaja ahli Dewan Rakyat yang yang diberikan kepercayaan, penyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat.
- Tandatangan.
- Tandatangan atau cop rasmi saksi (sama ada seorang peguam bela atau peguam cara, pesuruhjaya sumpah, notari awam atau jawatan yang setanding bagi yang berhormat yang berada di luar negara) dan tarikh surat akuan.
"Serahan tangan adalah tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih
berada di dalam kawasan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 dan juga untuk
mengelakkan penularan Covid-19 di Istana Negara," katanya.
Tegas Azhar, perlu dijelaskan mana-mana surat yang tidak mematuhi
perkara-perkara di atas ataupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Zahid tidak menamakan diri sebagai calon PM
- Muhyiddin tak tolak kemungkinan kembali sebagai PM
- Kerajaan PN tidak gagal, kita buat ibadah selamatkan nyawa – Mahiaddin
- MP diarah calonkan PM sebelum 4 petang esok
- 6 Ahli Parlimen tiba di Istana Negara
- Agong cadang tubuh kerajaan dengan kekuatan semua parti – Anwar
Join our Telegram Channel