Sokong Ismail calon PM9 dengan syarat kluster mahkamah tak jadi menteri – Mahiaddin



KUALA LUMPUR: Parti Perikatan Nasional (PN) telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua 50 Ahli Dewan Rakyat parti-parti gabungan PN iaitu 31 orang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas (18) dan Star (1) telah menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) ke Istana Negara pada semalam menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.

Jelas Muhyiddin, empat Ahli Dewan Rakyat bebas Pro-PN juga telah berbuat demikian.


“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan Perikatan Nasional yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, keputusan tersebut juga memberi makna PN lebih mengutamakan kestabilan politik berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Bagaimanapun tegas Muhyiddin, sokongan terhadap Ismail Sabri itu adalah bersyarat, di mana beliau perlu memastikan barisan ahli jemaahnya terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.


“Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja
Berperlembagaan.

“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi Perikatan Nasional, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” katanya. – Utusan 



Join our Telegram Channel
Telegram