Syed Saddiq dikenakan dua lagi tuduhan mahkamah



Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman minta dibicarakan berhubung dua tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

Ahli Parlimen Muar itu meminta dibicarakan ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini.

Menurut dua pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah 2001, dia dituduh terlibat dalam pemindahan dana sebanyak dua kali pada 16 dan 19 Jun 2018.

Untuk setiap pemindahan di Maybank Islamic Berhad, Taman Perling di Johor Bahru, dia didakwa telah memindahkan RM50,000 dari akaun Maybank Islamic Berhad ke akaun Amanah Saham Bumiputera.


Sebelumnya, pada 22 Julai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bekas ketua Pemuda Bersatu itu minta dibicarakan atas tuduhan menyalahgunakan dana sebanyak RM1.12 juta dari bekas parti politiknya, Bersatu.

Semasa prosiding awal, pihak pendakwa memberitahu mahkamah rendah Kuala Lumpur bahawa ahli politik berusia 28 tahun itu akan menghadapi tuduhan lebih lanjut di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Pihak pendakwaan kemudian mendedahkan bahawa mereka akan berusaha memindahkan kes-kes Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk didengar bersama dengan kes-kes Syed Saddiq yang lain di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sekiranya disabitkan bersalah dalam satu daripada dua pertuduhan baru, Syed Saddiq akan menghadapi hukuman penjara maksimum 15 tahun; dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali jumlah hasil haram yang didakwa, atau RM5 juta, mengikut yang mana yang lebih tinggi.

Peguam bela tertuduh Gobind Singh Deo mengesahkan hasil prosiding di hadapan hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail pagi ini.


"(Syed Saddiq) minta dibicarakan. Kes (telah) dipindahkan ke KL (Mahkamah Sesyen).

"(Kes hari ini telah) ditetapkan untuk disebut di KL dengan dua kes lain pada 10 September," kata peguam itu ketika dihubungi.

Gobind menambah bahawa berkaitan dengan jaminan, mahkamah membenarkan Syed Saddiq dibebaskan dengan jaminan yang sama yang sebelumnya ditetapkan oleh mahkamah rendah di Kuala Lumpur.

Sebelum ini pada 22 Julai, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM330,000 dengan seorang penjamin.


Syed Saddiq membayar wang jaminan RM80,000 pada hari itu dan baki RM250,000 selebihnya melalui pendanaan awam.

Pada 17 Julai tahun lalu, SPRM menyoal siasat Syed Saddiq selama 11 jam berhubung laporan yang dibuatnya beberapa bulan sebelum itu pada bulan Mac mengenai kira-kira RM250,000 yang dia dakwa dicuri dari rumahnya.

Dia mendakwa bahawa sebahagian besar wang yang hilang adalah untuk membiayai pengubahsuaian rumahnya di Petaling Jaya. Dari jumlah yang hilang, didakwa bahawa RM90,000 adalah miliknya, dan RM50,000 adalah milik ibunya dan RM70,000 milik bapanya.

Kejadian itu berlaku di tengah pergolakan Bersatu di mana Syed Saddiq berpihak kepada Ahli Parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mengetuai kumpulan yang disingkirkan dari parti itu. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram