Terima kasih, tapi ini game PN nak kenakan saya, Najib tolak petisyen NGO pemgampunan Agong



PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan tindakan sebuah kumpulan menyampaikan memorandum kepada Istana Negara memohon pengampunan untuknya, hanya helah pemimpin Perikatan Nasional (PN) “untuk kenakan saya.”

“Saya berterima kasih pada NGO ini sebab mengambil berat pada saya tetapi saya tak pernah berhubung dengan mereka dan tidak diberitahu tentang petisyen mereka kepada Istana pagi tadi.

“Apabila ini (penghantaran memorandum pengampunan) menjadi berita utama portal (tajaan pemimpin) PN…dan ianya disiar secara ‘live’, kita tahu-tahulah pihak siapa punya kerja untuk kenakan saya,” kata Najib di Facebook.


Najib menegaskan beliau tetap yakin dirinya di pihak benar dan mahu mahkamah menentukan kes dihadapinya secara bebas dan berkecuali, tanpa campurtangan politik.

Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu berkata soal pengampunan tidak berbangkit sama sekali.

“Saya ulang, saya mahu kes-kes saya melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil dan telus sebab ianya satu-satu cara sahaja untuk bersihkan nama saya sepenuhnya. Saya tidak mahu kes saya digugurkan begitu sahaja dan saya tidak mahu apa-apa campurtangan politik.

“Saya amat yakin saya tidak bersalah. Sebab itu apa perlunya saya diampun sekiranya saya tak salah?,” katanya.


Pagi tadi, sebuah kumpulan yang menggelar sebagai Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memberikan pengampunan terhadap Najib berhubung kes mahkamahnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengaitkan tekanan ke atas kepimpinannya kepada keengganan untuk campur tangan dalam kes mahkamah beberapa individu.

Bagaimanapun, Najib menegaskan jika individu berkenaan mahukan campur tangan sedemikian, sudah tentu dia akan “membodek” dan bukan mengkritik perdana menteri atas beberapa kegagalan menangani krisis negara. – FMT 

 

Join our Telegram Channel
Telegram