Dewan gamat Azalina balun katak-katak melompat



KUALA LUMPUR – Transformasi pentadbiran melalui Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti wajar dilakukan secepat mungkin, tegas bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, ini kerana perbuatan lompat parti oleh Ahli Parlimen boleh berlaku pada bila-bila masa.

Beliau turut berharap agar cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 diberikan “fast track” untuk didebatkan di Dewan Rakyat, sekali gus diambil alih oleh kerajaan sebagai asas kepada Akta Anti Lompat Parti.

Katanya, satu mekanisme melalui Akta Anti Lompat Parti perlu diwujudkan supaya senarionya lebih terbuka kerana tidak semua wakil rakyat yang melompat parti sebenarnya mahu berbuat demikian.


“Tetapi Akta Lompat Parti ini bahayanya satu sahaja, dia lompat apa pun sebab kerana dipecat, kerana digabungkan, kerana bila tak suka dia pergilah.

“Kita mesti menerima, kadang-kadang yang nak lompat itu bukan nak lompat, tetapi dia dipaksa lompat kerana dia telah dipecat. Jadi, cadangan saya dengan RUU ini macam orang bercerailah,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Katanya, dengan RUU itu rakyat diberi kuasa menentukan sama ada wakil kawasan mereka yang melompat parti perlu diganti atau dikekalkan.

“Saya percaya tidak semua yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti akan mewakili parti politik, kemungkinan sebagai calon Bebas.


“Jadi, takkan jika dia bergabung (dengan parti) selepas menang, kerusi itu terus ‘digugurkan talak’, kenalah diberikan ‘edah’ kepada pengundi, yang mana kemungkinan dia masuk kepada pihak disokong pengundi,” katanya.

Pada 2 Sept lalu Azalina menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Terdahulu, Azalina menggamatkan Dewan Rakyat dengan menjual serangkap pantun, “lompat si katak lompat, lompat di dalam perigi; lompat jangan tak lompat, nanti tak sempat menjadi”.

Katanya, sebab itu beliau sendiri dengan tegas dan di atas konsep demokrasi menyediakan RUU Akta Lompat Parti dan mahu kerajaan mewujudkan akta itu. – FMT





Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram