Mat Sabu terdiam bila Azalina kata sekejap je macam mutaah, isu kembali jadi Timb Speaker



KUALA LUMPUR - Kemunculan semula Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mempengerusikan Sidang Dewan Rakyat sesi petang Rabu mencuri tumpuan ramai.

Kehadiran Azalina secara mengejut itu juga menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat kerana tiada sebarang makluman berhubung perkara itu.

Turut kedengaran suara beberapa ahli Parlimen yang mengucapkan tahniah dan selamat kembali kepada Azalina.

Bagaimanapun, Azalina yang melepaskan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Ogos lalu segera menjelaskan bahawa beliau telah diminta oleh Datuk Azhar Azizan Harun untuk mempengerusikan persidangan itu buat sementara.


"Saya telah diminta oleh Yang Dipertua (Dewan Rakyat) di bawah Peraturan Mesyuarat 73, untuk mempengerusikan mesyuarat sementara waktu," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan Azalina itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) bangkit mempersoal sama ada kehadiran Azalina mempengerusikan Dewan Rakyat itu mengikut peraturan.

"Saya tidak ada masalah Yang Berhormat Pengerang (Azalina) mempengerusikan mesyuarat, hanya prosedur sahaja adakah ini betul sedangkan mesyuarat sedang membincangkan Titah Diraja.

"Kami juga tidak menerima permakluman daripada Yang Dipertua tentang penggantian (Azalina bagi mempengerusikan Dewan Rakyat).

"Jadi, soalannya adakah peraturan diguna pakai (dalam melantik Azalina mempengerusikan sidang Dewan Rakyat) dengan sebetulnya," katanya.


Turut bangkit mempersoalkan perkara itu, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru).

Menurut Tze Tzin, beliau secara peribadi mengakui kecewa dengan keputusan Azalina meletak jawatan sebelum ini kerana baginya Ahli Parlimen Pengerang itu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

"Kekosongan ini patut diisi secepat mungkin," katanya.

Menjawab kepada pertanya yang disuarakan Tze Tzin itu, Azalina sekali lagi menjelaskan bahawa beliau hanya pengerusikan sidang itu buat sementara.

"Ia di bawah Peraturan Mesyuarat 73. Jadi, hari ini saya. Isnin atau Selasa (depan) mungkin orang lain," katanya. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram