Lokman Adam diterima jadi ahli UMNO semula



KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam untuk menjadi ahli parti itu diterima balik, tetapi dengan beberapa syarat.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang memaklumkan perkara itu berkata permohonan semula Lokman sebagai ahli UMNO diterima baik, tetapi tidak mendedahkan syarat dimaksudkan.

Sebelum ini, Lokman dilucutkan keahlian daripada UMNO pada 20 Februari tahun lalu.


"Permohonannya (Lokman) sebagai ahli UMNO diterima balik, tetapi dengan beberapa syarat," katanya selepas selesai mesyuarat MKT UMNO di Lobi Menara Dato Onn, malam ini.


Difahamkan, mesyuarat MKT UMNO malam ini adalah yang pertama dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas tiga kali ditangguhkan sebelum ini.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan pada 21 Ogos lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, fokus mesyuarat pada malam ini adalah bagi memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri.


"MKT UMNO memberi sokongan padu kepada Ismail Sabri. Kita bersiap sedia untuk pilihan raya pada bila-bila masa dan soal pemilihan calon tidak timbul," katanya.

Selain itu, beliau turut mendedahkan mesyuarat pada malam ini tidak membincangkan soal pemilihan parti itu.

Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memaklumkan kepemimpinan MKT UMNO ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai caretaker (sementara) sehingga pemilihan dan mesyuarat Agung UMNO 2021 dijalankan. – Bharian



 

Join our Telegram Channel
Telegram