4 menteri bincang longgar SOP menjelang fasa endemik Covid-19



PETALING JAYA: Empat Menteri akan mengadakan perbincangan khas bagi menyediakan prosedur operasi standard (SOP) menjelang negara menuju ke fasa endemik.

Menteri-menteri itu ialah Menteri Pertahanan,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.


Hishammuddin menerusi kenyataan berkata, perbincangan itu antara lain akan meneliti kelonggaran bersesuaian untuk dilaksanakan bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.

“Saya akan memanggil ketiga-tiga menteri terbabit dalam masa terdekat untuk memulakan perbincangan secara terperinci bagi membuat keputusan bersama mengenai penyesuaian SOP dan bentuk kelonggaran menuju fasa endemik,” kata beliau.

Terdahulu,  Khairy memberitahu Malaysia bakal memasuki fasa endemik bermula hujung Oktober ini dan peralihan fasa itu dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksinasi.


Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat selain memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat walaupun SOP dan kelonggaran baharu dilaksanakan.

“Kelonggaran ini termasuk kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor ekonomi. 

“Bagi menetapkan kelonggaran berkenaan, banyak faktor perlu diambil kira kerana ia membabitkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram