Mesyuarat bincang kelonggaran rentas negeri – Hishammuddin



KUALA LUMPUR: Empat menteri yang ditugaskan untuk memperincikan langkah penyesuaian dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan COVID-19 ketika negara menuju ke fasa endemik dijadual bermesyuarat esok.

Perbincangan julung kali mengetengahkan empat agenda utama, termasuk tindakan inklusif seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tiga menteri lain yang menyertai mesyuarat itu adalah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. 


Hishammuddin berkata, mesyuarat itu akan meneliti keputusan kelonggaran diumumkan kepada orang ramai sebelum ini serta kaedah SOP sedia ada dapat dipermudahkan dan difahami semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, ia memerlukan input daripada empat menteri berkenaan, selain Annuar akan membantu memaklumkannya kepada orang ramai menerusi platform sedia ada supaya masyarakat memahami dengan lebih jelas.

Katanya, mesyuarat itu juga akan meneliti dan memperhalusi kelonggaran dipersetujui sebelum ini, sebelum sebarang keputusan mengenainya diumumkan kepada orang ramai.

"Berhubung kait dengan perjalanan rentas negeri, sektor tertentu telah pun secara prinsip mendapat (persetujuan) oleh sidang khas dengan syarat empat menteri ini memperincikannya sebelum diumumkan kepada orang ramai.


"Ia juga melihat kepada sektor tertentu contohnya 'travel and tourism bubble', di mana semua maklum kita sudah buka Langkawi sebagai projek rintis dan ia boleh diperluas jika berjalan lancar, selamat serta memenuhi SOP ditetapkan.

"Kalau ada sektor lagi yang perlu difikirkan, ia boleh diperluas kepada sektor lain.

"Agenda keempat ialah hasrat naratif menjelang hujung Oktober ini untuk melihat pandemik dalam konteks endemik, bagaimana kita boleh cari jalan untuk hidup bersama COVID-19 dengan rasionalnya mesti dibincangkan dari sekarang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bertujuan mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi menerusi pendekatan kerjasama secara 'dwipartisan'.


Beliau juga berharap tindakan diusahakan Ismail Sabri berhubung persefahaman itu diterima baik semua pihak, selain menasihati pembangkang supaya mereka tidak hanya berteraskan pertimbangan politik, sebaliknya mempertimbang hasrat memastikan kestabilan bagi membolehkan semua pihak fokus kepada agenda lebih penting.

"Ia bukan untuk kuasa, tetapi membantu kita yang diberi amanah memimpin kementerian tertentu dan menerajui pentadbiran negara supaya fokus dan berusaha membawa negara keluar daripada COVID-19 secepat mungkin menerusi tiga teras berhubung kait dengan kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan.

"Niat mengadakan persefahaman ini bagi memastikan kestabilan, jadi untuk menimbulkan isu keabsahan atau undi tidak percaya (terhadap Perdana Menteri) sekali lagi itu tidak menjurus kepada harapan kepada kestabilan politik negara.

"Rakyat akan menilai tindakan mereka (pembangkang) hari-hari menimbulkan ketidaktentuan dalam suasana politik, khususnya ketika sesi Dewan Rakyat yang bermula, hari ini," katanya. – BHarian



Join our Telegram Channel
Telegram