Sejak akhir-akhir ini, kecoh di media sosial apabila muncul sebuah ajaran sesat yang dinamakan sebagai Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) diketuai oleh seorang wanita, Sittah Annur berusia 39 tahun.
Ajaran sesat wanita ini turut mendapat perhatian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad serta pihak polis sebelum ditahan awal pagi tadi di Shah Alam.
Menerusi serbuan yang dibuat rumahnya, pihak polis telah menemui sekeping resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan sebanyak RM84,721.42.
Turut dirampas bersama adalah lima telefon pintar, sekeping kad bank dan sepasang telekung yang dipercayai digunakan beliau sewaktu membuat Facebook Live.
“Siasatan juga mendapati wang diterima suspek menerusi rampasan resit pemindahan wang itu adalah hasil derma daripada ahli yang menyertai kumpulan ajarannya itu”.
“Peniaga wanita yang sudah berumah tangga itu sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ulas Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni
Basri berkata, permohonan tahanan reman terhadap suspek dipohon dan dibenarkan oleh Majistret Kuala Lumpur selama empat hari sehingga 7 September ini.
Sittah Annur sebelum ini turut mengakui dan mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.
Wanita tersebut turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah SWT.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel