PETALING JAYA: Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan berlaku pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah berjumlah RM13 juta ke satu akaun di luar negara ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar.
Menteri Besar Kedah itu berkata, pemindahan wang berkenaan dibuat ke dalam akaun yang berpangkalan di Kanada.
Beliau membuat pendedahan itu dalam sidang media selepas mendakwa Mukhriz membangkitkan hal lama pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
“Ditanya mengapa ungkit hal lama, saya tiada ungkit hal lama, ini zaman Datuk Mukhriz jadi menteri besar, bila dibangkitkan baru saya jawab hal lama pemindahan wang MBI 13 juta ke satu akaun di luar negara, di Kanada.
“Saya tidak pernah sebut kepada sesiapa pun, hari ini baru saya sebut dan slip bank pemindahan wang itu saya ada simpan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
FMT telah menghubungi Mukhriz dan MBI Kedah untuk mendapatkan penjelasan.
Sanusi juga berkata, ketika beliau mengambil alih jawatan MB tahun lalu, salah satu item pertama dalam agenda tersebut ialah isu beg barang kuih raya bernilai RM1.3 juta yang belum dibayar.
“Bila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk bayar satu perbelanjaan yang dibuat penasihat menteri besar pada masa itu untuk bekalkan kuih raya.
“Kuih raya itu saya dapati harga begnya lebih mahal dari kuih hingga menyebabkan kita terpaksa bayar hingga RM1.3 juta.
Sanusi juga berkata bahawa dakwaan bahawa lima pegawai dari syarikat berkaitan kerajaan negeri ditangkap semasa pentadbirannya tidak tepat, kerana kesalahan itu dilakukan pada tahun 2017, tetapi penangkapan hanya dilakukan tahun ini.
Beliau pada itu, menempelak Mukhriz yang didakwa kelilingi ‘punah sihat’ dan bukannya penasihat seperti dinyatakan ADUN Jitra itu ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Kedah dalam Sidang DUN berkenaan.
“Saya katakan sebenarnya beliau bukan dikelilingi penasihat tetapi dikelilingi ‘punah sihat’. Sebab itu kena bayar harga RM1.3 juta dengan harga beg lagi mahal daripada kuih,” katanya.
Sanusi juga mendesak perwakilan pembangkang yang meminta diberi waktu untuk bercakap di sidang DUN itu supaya tinggal dekat dengan kawasan pilihan raya mereka, sambil mendakwa kebanyakan daripada mereka menetap di Kuala Lumpur.
“Saya harap waktu pandemik ini wakil rakyat berada di DUN masing-masing melihat keperluan rakyat, ada wakil-wakil rakyat ini tinggal di Kuala Lumpur, rumah di Kuala Lumpur sekali sekala pulang tengok kawasan, lepas itu datang di DUN komplen tak bercakap.
“Saya nasihatkan mereka untuk berada di DUN masing-masing pada waktu ini sehingga pandemik masuk ke fasa endemik..rumah di KL ada tidak apa, bagi ada rumah di sini sama, bini tak payah la,” katanya – FMT
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel