PM: PRN Melaka mungkin berlaku tapi terpulang kepada TYT



PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku di Melaka ekoran kemelut politik yang melanda negeri tersebut.

Bagaimanapun, ujar beliau, masih terlalu awal untuk mengatakan ia pasti berlaku kerana apa jua perkembangan di sana bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Menurutnya, jika keputusan dibuat membuka laluan bagi PRN dijalankan, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kawalan dapat dilaksanakan.


“Saya dihujani pelbagai pandangan di media sosial, ramai yang menyatakan kebimbangan mereka sekiranya PRN seperti di Sabah dahulu dilaksanakan.

“Dulu kes Covid-19 sudah turun tapi disebabkan PRN, ia meningkat semula dan ramai yang bimbang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Berita berkaitan: Kerajaan Melaka tumbang, 4 ADUN umum hilang kepercayaan

Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tumbang semalam selepas beliau kehilangan sokongan majoriti selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan penarikan sokongan mereka terhadap kerajaan negeri.


Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kemelut politik di Melaka itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk diselesaikan, yang difahamkan telahpun mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau turut berharap agar keadaan politik negara kekal stabil sebagaimana yang dikecapi ketika ini terutamanya selepas kerajaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pembangkang. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram