Umno Melaka serah TYT, tapi TYT masih kuarantin



Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata Umno menyerahkan krisis yang sedang berlaku di negeri itu kepada kebijaksanaan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

“Badan Perhubungan Umno Melaka menyerahkan atas kebijaksanaan TYT untuk menyelesaikan atau meleraikan kemelut politik yang sedang melanda negeri Melaka.

“Mengikut Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri, TYT boleh memprorog (menggantung) atau membubarkan DUN,” kata pengerusi Umno Melaka itu dalam sidang media sebentar tadi. – Mkini


TYT Melaka Kuarantin

MELAKA: Istana Melaka belum menerima surat daripada mana-mana parti politik untuk mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam berhubung dakwaan kerajaan negeri sedia ada telah hilang sokongan majoriti wakil rakyat.

Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka, Nur Azmi Ahmad berkata, buat masa ini, Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 Sept lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.

“Setakat ini, tiada surat janji untuk saya persembahkan kepada Ali,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari hari ini dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ali dalam tempoh terdekat bagi menghantar surat memaklumkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti.

Hari ini, empat ADUN Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram