TERKINI: PN bertanding semua 28 kerusi #PRNMelaka – Mahiaddin



TANGKAK: Perikatan Nasional (PN) telah mengenal pasti calon di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka termasuk calon Ketua Menteri sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua calon itu akan melibatkan wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.

Menurut beliau, perkara itu ditetapkan ekoran sudah menjangkakan keputusan UMNO yang enggan bekerjasama dengan PN sejak daripada awal lagi.

“Saya sudah agak responsnya begitu cuma sebagai satu tindakan berhemah kita nak dengar mereka kata sah dan sekarang mereka kata ‘no way’ dan itu fakta. 


“Maka saya sudah maklumkan di Melaka kita bersedia untuk hadapi apa sahaja bentuk pertandingan sama ada secara dua, tiga atau empat penjuru yang tidak menjadi masalah bagi kita.

“Saya fikir besar kemungkinan kita bertanding di semua kerusi dan 28 kerusi itu dibahagikan antara parti yang saya sebutkan tadi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pimpinan Tempatan peringkat DUN Gambir, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memaklumkam tidak akan bekerjasama dengan Bersatu atau mana-mana parti dalam PN.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau juga telah meminta agar perundingan dalam PN dimuktamadkan segera bagi soal pembahagian kerusi.

“Pada dasarnya, kita bersetuju 28 kerusi DUN yang dipertandingkan di Melaka dibahagikan mengikut situasi dan keadaan yang diharapkan kita dapat mencapai kejayaan,” katanya.


Sementara itu, ketika ditanya kewajaran untuk menangguhkan PRN Melaka berikutan berlaku peningkatan kes di negeri itu, kata Muhyiddin, pilihan raya itu perlu diteruskan.

“Faktanya mereka tidak dapat tangguh lagi, ketika Yang di-Pertuan Negeri memutuskan untuk bubar DUN, telah dinyatakan dalam Perlembagaan bahawa kita perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah umum tarikhnya, jadi kita harus menghadapinya. SPR perlu umum prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat kawal penyebaran penyakit yang saya rasa mereka tahu apa yang harus dilakukan dan mana yang boleh atau tidak,” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram