Kuala Lumpur: Pengaruh drama Korea (K-Drama) menjadi salah satu faktor kecenderungan bunuh diri dalam kalangan masyarakat, terutama golongan remaja di negara ini.
Perkara itu dibangkitkan Senator Mohd Apandi Mohamad ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan kes bunuh diri dalam kalangan remaja di negara ini adalah kerana terdorong dengan pengaruh drama Korea.
Ini kerana, katanya, ada drama Korea itu mempunyai elemen bunuh diri apabila gagal dalam hidup.
"Setuju atau tidak, maknanya bila gagal... bunuh diri, gagal... bunuh diri.
"Adakah kerana mereka terlalu terpengaruh dengan drama Korea ini," katanya ketika mencelah perbahasan Fadhlina Sidek.
Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau bersetuju dengan pandangan berkenaan kerana banyak faktor yang menyebabkan golongan bawah umur membunuh diri.
Katanya, media memainkan peranan penting untuk melaporkan kejadian bunuh diri secara beretika.
"Cara media melaporkan pemberitaan bunuh diri adalah sangat penting," katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan perlindungan sosial yang penting untuk golongan bawah umur ini kerana mereka berada dalam golongan umur rentan.
Dalam pada itu, Fadhlina turut mencadangkan pengenalan Pelan Tindakan Gender Negara yang boleh menjadi mekanisme tatacara kerja yang lebih efektif.
"Ini bermakna kesaksamaan ini adalah proses evolusi termasuk dalam konteks substantif, memahami episod diskriminasi dan keadilan sosial yang mengambil kira faktor waqi' (setempat) budaya dan agama.
"Ia membawa kepada kepentingan membentangkan Bajet Responsif Gender yang menjadi tekad Pelan Tindakan Gender Negara.
"Seluruh segmen masyarakat harus disediakan dengan kefahaman gender yang berteraskan kepada keadilan sosial dan hak asasi dalam masyarakat khususnya dalam memahami isu keganasan berasaskan gender dalam penghapusan diskriminasi gender," katanya.
Kenyataan tersebut mendapat perhatian netizen dan rata-rata netizen memberikan pelbagai reaksi berhubung isu terbabit. Ada netizen tidak bersetuju dengan pendapat tersebut dan mengatakan lebih banyak drama Korea yang memberi inspirasi.
Bukan itu sahaja, para netizen juga mengatakan bahawa bukanlah drama yang mempengaruhi tetapi kesihatan mental tidak diambil peduli oleh sesetengah masyarakat. Malah, ada juga yang memandang serong terhadap individu yang sedang murung dan mengalami masalah mental.
Please subscribe
Join our Telegram Channel