Sekiranya anda pernah terlepas peluang memiliki kediaman di Itali berharga
hanya 1 Euro dan sanggup menangung kos baik pulihnya, bandar Pratola Peligna
ada tawaran menarik untuk anda.
Pratola Peligna, yang terletak kira-kira 2 jam dari Rom, mempunyai sekitar 630
bangunan terbiar. Daripada jumlah itu, kira-kira 250 kini dibuka untuk jualan
dengan harga 1 euro.
Menurut pegawai perbandaran, usaha itu diharap dapat melestarikan sejarah
bandar tersebut sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menarik
pemilik rumah baru.
“Matlamat kami adalah untuk mengembalikan kegemilangannya semula dan
memulihkan keindahan pusat bandar lama itu, walaupun ia mungkin mengambil masa
yang lama,” kata ahli majlis tempatan Paolo Di Bacco kepada CNN.
Seperti bandar Itali lain yang menjual rumah 1 euro, Pratola Peligna berdepan
jumlah populasi yang semakin berkurangan.
Walaupun bandar ini mempunyai kira-kira 13,000 penduduk pada tahun 1930-an,
jumlah itu telah menyusut kepada hanya 7,000 penduduk kerana ramai telah
keluar bandar mencari pekerjaan dengan gaji yang baik dan lebih tinggi.
Sebahagian rumah terbiar itu berada dalam keadaan yang agak baik.
Namun, sebahagian besar lagi memerlukan kerja baik pulih yang ketara dan ada
juga yang telah musnah sepenuhnya.
Malah, pihak majlis perbandaran telah mengeluarkan lebih daripada 40 amaran
kepada pemilik menyatakan rumah itu berdepan risiko hampir runtuh, menurut
1eurohouses.com.
“Jika bumbung atau dinding runtuh, hingga mengancam keselamatan awam, dewan
bandaraya akan campur tangan dan memastikan pemilik lama, atau waris mereka,
membayar kos pembaikan tersebut,” kata ahli majlis tempatan Di Bacco kepada
CNN.
Malah, sebahagian pemilik telah menyerahkan surat ikatan rumah kepada pihak
berkuasa tempatan untuk mengelakkan beban dan kos penyelenggaraan bangunan.
Kerana itu juga, Pratola Peligna kini mampu menjual rumah dengan harga 1 euro.
Di bandar lain, pembeli rumah 1 euro lazimnya perlu membayar deposit mencecah
ribuan dolar sebagai jaminan mereka akan melakukan baik pulih ke atas kediaman
tersebut.
Sebaliknya di Pratola Peligna, pembeli akan dikenakan denda 10,000 euro
(AS$11,500) sekiranya gagal mengemukakan pelan lengkap baik pulih dalam masa
enam bulan.
“Ia sebenarnya lebih cenderung kepada senario terburuk,” kata Di Bacco kepada
CNN.
Join our Telegram Channel