Tiga bahagian UMNO Melaka tolak MCA



JASIN: UMNO Bahagian Jasin sama sekali tidak akan berkompromi untuk memberi laluan kepada MCA bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bahagiannya, Datuk Hasan Rahman berkata, jawatankuasa bahagian telah mengambil ketetapan sebulat suara agar DUN tersebut ditandingi oleh calon UMNO.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras DUN (Japerun) Bemban menjelaskan, adalah wajar UMNO bertanding di situ memandangkan pengundi Melayu adalah yang teramai iaitu sebanyak 11,469 orang berbanding Cina (3,962) dan India (3,040).


“Kita tidak akan berkompromi lagi dengan MCA. Walau apa terjadi, UMNO tetap akan meletakkan calon di DUN Bemban. Jika MCA bertanding lagi sudah tentu calon mereka akan kalah kepada pembangkang seperti yang berlaku pada PRU-14. 

“Biarlah kali ini calon UMNO bertanding untuk kita rampas kerusi ini daripada PKR menjelang PRU-15 nanti,” katanya ketika ditemui.

Pada PRU-14, DUN Bemban dimenangi oleh Datuk Dr. Wong Fort Pin dengan 6,998 undi menewaskan calon MCA, Datuk Koh Chin Han mewakili Barisan Nasional (BN).

Terdahulu akhbar ini melaporkan, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad juga turut mengambil ketetapan meletakkan calon UMNO di DUN Klebang.

Sementara itu, UMNO Bahagian Alor Gajah juga mengambil keputusan sama iaitu akan bertanding di Parlimen tersebut dan DUN Machap Jaya.


Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Rospandi Leman berkata, ini kerana semakan mendapati, sebahagian besar penduduk Alor Gajah tidak mahu lagi MCA bertanding di situ.

“MCA kalau bertanding lagi kali ini pastinya dua kerusi ini akan kalah. Adalah lebih baik calon UMNO lebih layak bertanding dan sudah tentu kita ada peluang untuk menang,” katanya.

Rospandi menambah, ia turut disokong dengan pertambahan pengundi Melayu yang sudah mencapai 62 peratus. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram