Polis sahkan siasat Adun Morib (Amanah) dakwaan pukul bekas isteri



Polis mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap Adun Morib, Hasnul Baharuddin berhubung dakwaan memukul bekas isterinya, Juliani Jalilah Abdullah berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh wanita itu.

Malaysiakini melihat laporan yang dibuat di balai polis daerah Kuala Langat pada bulan lepas, berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 21 Ogos, ketika kedua-dua mereka masih merupakan pasangan suami isteri.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya telah memulakan siasatan.

"Saya mengesahkan ada terima laporan polis tersebut sahaja. Saya ulas setakat tu dulu buat masa ini, tentang isi kandungan saya tak akan ulas apa-apa," kata Ridhwan kepada Malaysiakini semalam.


'Laporan polis berniat jahat'

Hasnul, yang merupakan Adun dari Amanah dan timbalan speaker DUN Selangor, mendakwa laporan itu dibuat dengan "niat jahat" selepas perceraian mereka.

"Laporan itu berniat jahat. Bukannya lepas berlaku dia terus report polis. Laporan itu dibuat selepas saya menceraikan dia, jadi berniat jahatlah.

"Polis pun dah siasat benda tu. Ringkasnya, kalau betul saya bersalah, polis akan ambil tindakan segeralah," katanya kepada Malaysiakini.

Juliani, 38, dalam laporannya, mendakwa Hasnul memukulnya kira-kira jam 11 malam pada 21 Ogos lalu di rumah mereka di Banting sehingga menyebabkan kecederaan di muka.

Dia berkata laporan itu dibuat beberapa bulan selepas kejadian itu untuk dikemukakan bagi rujukan Mahkamah Syariah dan tindakan lanjut terhadap Hasnul.


'Dia terkam, tampar dua tiga kali'

Ketika dihubungi, Juliani berkata dia tidak segera membuat laporan polis kerana Hasnul pada masa itu memujukkan untuk tidak berbuat demikian.

"Kejadian berlaku pada 21 Ogos. ketika itu saya kena pukul sebab suami saya minta nak berpoligami.

"Saya cuba nak pujuk dia masa tu, tapi tak diendahkan. So terjadi benda tu, dia nampak saya nangis tak boleh control, dia terkam, tampar dua tiga kali sampai pecah berdarah bibir saya. Masa tu saya belum buat laporan polis sebab dia pujuk untuk tak buat laporan," katanya.

Wanita berusia 38 tahun itu berkata dia memiliki gambar wajahnya yang diambil selepas kejadian itu yang turut dikemukakan kepada Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat.

Mahkamah berkenaan mengesahkan lafaz cerai yang dibuat di luar mahkamah melalui WhatsApp oleh Hasnul terhadap isterinya pada 14 Okt lepas.

Hasnul mengesahkan telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung perkara itu. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram