#PRNMelaka: Isu protes selesai, 38 PDM BN Jasin berjalan seperti biasa – Abdul Kalam



JASIN: Semua 38 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di bawah Parlimen Jasin termasuk sembilan yang ditutup dipercayai kerana protes sebelum ini akan beroperasi seperti biasa, kata Setiausaha UMNO bahagian Jasin, Datuk Abdul Kalam Hassan.

“Memang pada mulanya ada sembilan PDM ditutup di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban ini.


“Tetapi isu itu telah diselesaikan dan semua 38 PDM akan beroperasi seperti biasa dan membantu semua calon,” katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI.

Terdahulu, sembilan PDM BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dilaporkan ditutup selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN) pada Sabtu.


Difahamkan tindakan itu dibuat susulan ketidakpuasan hati akar umbi BN di kawasan berkenaan selepas penyandang kerusi DUN terbabit, Datuk Hasan Rahman tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sebelum ini, 96 cawangan UMNO di bawah Parlimen itu mengadakan sidang media memohon pucuk pimpinan parti agar meneliti semula nama calon BN di DUN berkenaan. – Awani




Join our Telegram Channel
Telegram