PETALING JAYA – Fenomena ombak besar, hujan lebat serta angin kencang yang berlaku di beberapa kawasan negeri pantai timur ketika ini telah menyebabkan ramai pengunjung terperangkap terutamanya di Pulau Perhentian.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, tular beberapa video menunjukkan situasi orang ramai yang masih tidak dapat pulang semula ke tanah besar apabila aktiviti bot terpaksa ditangguhkan susulan cuaca buruk yang sedang melanda di sana.
Seorang pengguna, Anis Khairudin memuat naik video memaparkan keadaan ombak kuat yang sedang membadai kawasan sekitar pulau.
Katanya, dia dan beberapa individu lain masih terperangkap di pulau tersebut dan berharap agar orang ramai dapat mendoakan keselamatan mereka.
“Terperangkap di Pulau Perhentian, doakan kami. Ombak kuat, angin kuat sejak 24 Februauri lalu,” ujarnya.
Sementara itu, dia sempat merakam detik-detik ketika ombak kuat menghempas jeti sehingga menyebabkan ramai yang bimbang jika kawasan tersebut rosak dan menyukarkan lagi proses untuk mereka pulang.
“Setinggi-tinggi jeti di sini, air boleh sampai naik ke kawasan atas,” kongsinya.
Selain itu, melihat pada video yang dikongsikan pengunjung lain, difahamkan mereka telah tersadai di pulau berkenaan lebih kurang lima hari sejak berangkat ke sana dengan tujuan untuk bercuti.
“Hari kelima masih terperangkap di Pulau Perhentian, situasi semasa sangat berisiko untuk pulang ke tanah besar,” kata seorang pengguna.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mendoakan keselamatan mangsa yang terkandas di sana serta mengingatkan pada yang lain agar tidak berkunjung ke kawasan pulau dan menangguhkan segala aktivit air buat sementara waktu.
“Moga dipermudahkan urusan semua mangsa,” kata Edie Hamid.
“Musim luruan angin monsun di negeri pantai timur, jangan sibuk nak bercuti ke pulau terutamanya, bahaya sangat, sebab itu penting tahu info semasa cuaca negara,” luah Saidatul Amirah.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, kira-kira 400 pelancong terkandas di Pulau Perhentian, Besut.
Katanya, ia melibatkan 385 orang termasuk 18 kanak-kanak yang merupakan pelancong tempatan.
“Mereka terkandas selepas perkhidmatan bot untuk pulang ke daratan terpaksa dihentikan sementara ekoran laut bergelora dan ombak kuat.
“Buat masa ini, kesemua pelancong yang terkandas terpaksa terus menginap di 19 hotel dan resort di pulau peranginan ini sementara menunggu cuaca semakin pulih,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. – Kosmo
Please subscribe
Join our Telegram Channel