KUBANG PASU: Keluarga mangsa yang maut selepas terjatuh akibat melanggar lubang di jalan Taman Desa Bayanmas, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini kecewa apabila pihak bertanggungjawab lambat memperbaiki jalan yang rosak itu.
Sebaliknya, lubang kira-kira satu meter itu hanya ditampal selepas mangsa, Yahya Ramli, 63, meninggal dunia dalam kejadian tersebut pada pukul 1.45 tengah hari, Jumaat lalu.
Anak mangsa, Mohammad Yusri Yahya, 29, berkata, dia difahamkan lubang tersebut berada di jalan tersebut sejak empat bulan lalu tetapi tidak dibaiki dan ditampal walaupun berbahaya kepada pengguna jalan tersebut terutama penunggang motosikal.
Malah katanya, ramai pengguna jalan tersebut merungut kerana lubang tersebut tidak dibaiki segera walaupun terdapat penunggang motosikal yang turut terjatuh sebelum ini.
“Saya amat kecewa terhadap kelalaian pihak bertanggungjawab yang tidak memperbaiki jalan berlubang itu sehingga arwah bapa saya meninggal selepas terjatuh kerana melanggar lubang di jalan itu,” katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Padang Satu di sini hari ini.
Mohammad Yusri yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik berkata, dia percaya lubang di jalan itu tidak akan ditampal sekiranya arwah ayahnya tidak terlibat dalam kemalangan di lokasi tersebut.
“Kemalangan yang meragut nyawa arwah ayah saya itu diharap dapat memberi pengajaran kepada pihak bertanggungjawab supaya bertindak segera membaiki jalan yang berlubang untuk keselamatan pengguna.
“Janganlah apabila ada kes kematian baru jalan yang berlubang itu ditampal,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurutnya, arwah ayahnya dipercayai meninggal dunia selepas berlaku pendarahan di bahagian kepala selepas terjatuh dalam kemalangan tersebut.
Dilaporkan, Ketua Polis Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa yang tidak memakai topi keledar menunggang motosikal dari rumahnya ke Masjid Bukit Kayu Hitam di sini.
Join our Telegram Channel