Hamzah: Ada MP k'jaan keluar dewan sebelum usul Sosma diundi sebab benci tengok muka saya



Hamzah Zainudin hari ini meluahkan rasa kecewanya terhadap beberapa ahli parlimen kerajaan berhubung kegagalan meluluskan usul untuk melanjutkan penguatkuasaan salah satu subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu dia difahamkan ada antara ahli parlimen kerajaan memang berada dalam dewan namun mereka keluar menjelang proses pengundian.

“Saya rasa agak terkilan dengan beberapa ahli parlimen terutamanya daripada pihak kerajaan sendiri yang saya difahamkan berada dalam dewan ketika undi belah bahagi. Ketika nak mengundi, dia keluar.


“Sudah tentu saya tak gembira (kerana) sebahagian daripada mereka sudah berada di dewan tetapi keluar apabila undi belah bagi (dijalankan).

"Itu tidak adil, saya boleh namakan siapa (yang meninggalkan dewan),” katanya lapor Free Malaysia Today.

Menjelaskan hal berkenaan, bekas ahli parlimen Umno yang menyertai Bersatu itu berkata: "Sebab mereka tak suka tengok muka saya.”

Subseksyen 4(5) akta yang lebih dikenali sebagai Sosma itu membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan ke mahkamah. Ia dijadualkan luput pada 31 Julai tahun ini.


Apabila sampai masa usul itu mahu diundi selepas dibentang dan dibahaskan, blok kerajaan mendapat 85 undi menyokong manakala pembangkang 86. Seramai 49 lagi ahli parlimen tidak hadir.

Antara ahli parlimen yang tiada di dewan ketika itu termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Umno Ahmad Maslan dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut berhubung isu itu, Hamzah menyifatkan mereka yang tidak menyokong usul tersebut seperti sebagai ahli parlimen yang tidak mementingkan keselamatan negara.

“Pemikiran orang seperti ini sebenarnya langsung tak fikirkan tanggungjawab dia demi kepentingan negara.


“Saya sudah jelaskan, isu Sosma ini isu keselamatan negara. Apabila ditolak oleh pembangkang, maknanya walaupun mereka mengaku sayangkan negara mereka tak sedar bahawa Sosma dilakukan selepas kita tarik semula ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),” katanya.

Walaupun ditolak Dewan Rakyat kerajaan sebenarnya masih boleh mengemukakan usul itu sekali lagi pada bila-bila masa yang dirasakan mereka sesuai dan boleh mendapat sokongan majoriti.

Malah media melaporkan Hamzah sendiri mengakui sedang cuba membawa usul itu sekali lagi ke parlimen untuk diluluskan.

Untuk rekod sidang Dewan Rakyat yang akan datang akan bermula pada 18 Julai ini.



Join our Telegram Channel
Telegram