Umno, Bersatu anggap MOU kerajaan-PH terbatal



Beberapa tokoh Umno kini menggunakan kegagalan usul kerajaan melepasi undian di Dewan Rakyat sebagai desakan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) yang baru.

Kata mereka, Pakatan Harapan terbukti gagal mematuhi perjanjian persefahaman (MOU) yang dimeterai dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob pada tahun lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, mendakwa apa yang berlaku petang tadi menunjukkan ketidakstabilan kerajaan dan memberi gambaran buruk kepada Putrajaya.

Razlan merujuk usul penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang ditolak Dewan Rakyat hari ini selepas gagal mendapat undi yang mencukupi melalui undian belah bahagi.


"Kegagalan menteri dalam negeri (untuk) meluluskan subseksyen Sosma ini menunjukkan dengan jelas ia (kerajaan) sudah tidak stabil dan memberi gambaran buruk kepada kerajaan di parlimen.

"Ternyata perjanjian di antara kerajaan dan pembangkang sudah tidak boleh diguna pakai dan ia terbatal. Masa terbaik melakukan pilihan raya," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Razlan juga berkata amat jarang sekali negara ini melihat akta yang dibawa kerajaan ke dalam Dewan Rakyat gagal melepasi undian.

Katanya, ada banyak cubaan serang hendap dilakukan pembangkang semasa sesi parlimen berlangsung sebelum ini, namun tetap berjaya mendapat sokongan yang mencukupi.

"Belanjawan 2020 juga kelihatan setiap kali usul mahu diluluskan, setiap kali itulah kerajaan bertungkus-lumus mendapatkan kehadiran sehingga pernah ahli parlimen memakai PPE (set pakaian pelindung diri) untuk mengundi," katanya.


Bebas gantung MOU

Veteran Umno, Shahrir Samad, pula menyindir Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, ekoran kegagalan berkenaan.

"Pandai-pandai katak melompat, boleh tersilap mengukur langkah. Hanya ada 84, berbalas 86. Kalah.

"Sudah ada MOU. (Cuma) Tak berunding (dengan PH) saja lebih dulu. Nasib kerajaan hidup atas ihsan seteru.

"PRN Johor, PN tinggal tiga kerusi. Dalam Dewan Rakyat, tak kering gusi," sinis Shahrir.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata dengan tindakan pembangkang tidak menyokong usul pihak kerajaan bermakna MOU antara PH dengan kerajaan kini terbatal.

Katanya, berdasarkan Perkara 3.3(b) MOU tersebut menyatakan PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul yang dikemukakan oleh kerajaan.


Justeru, katanya, mereka berjanji tidak akan menolak sebarang usul kerajaan.

"Namun, hari ini, PH telah melanggar MOU tersebut dengan secara mengejut meminta undi belah bagi, bagi satu usul yang dibawa oleh menteri KDN, [...] pihak PH telah mengundi menolak usul tersebut.

"Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Ismail Sabri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MOU tersebut.

Ahli Parlimen Ketereh itu menambah, tindakan PH hari ini juga memudahkan lagi tanggungjawab perdana menteri - dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong - untuk melaksanakan mandat Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 terutama berkaitan pembubaran Parlimen.

“Ia juga membolehkan kita segerakan PRU ke-15 selari dengan keputusan PAU tempoh hari," tambahnya.


PH biadab

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pula menyifatkan tindakan PH hari ini sebagai "biadab" dan mencabuli semangat MOU kerajaan - PH.

"Kalau ini yang kalian mahu, batalkan saja MOU!" tegasnya.

Bagaimanapun, Dewan Rakyat ditangguhkan serta merta sebaik sahaja kerajaan gagal mendapatkan sokongan bagi menlanjutkan penguatkuasaan subseksyen Sosma.

Terdahulu usul dibawa Hamzah itu gagal mendapat sokongan mencukupi di Dewan Rakyat selepas hanya 84 ahli parlimen yang menyokong manakala 86 tidak bersetuju. Seramai 50 wakil rakyat dilaporkan tidak hadir.

Ini bermakna, subseksyen berkenaan - yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret - tidak akan lagi berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam satu kenyataan menegaskan bahawa perkembangan itu tidak bermaksud PH melanggar MOU mereka dengan kerajaan.

Jelasnya, ini kerana usul berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan MOU dan tiada rundingan mengenai perkara itu sebelum ini. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram