Usul lanjut SOSMA gagal sebab 30 wakil kerajaan tak hadir, kata Loke



PETALING JAYA: Kegagalan pihak kerajaan meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun bukan disebabkan wakil pembangkang.

Loke Siew Fook (PH-Seremban) berkata, kegagalan itu berpunca daripada 30 wakil rakyat kerajaan sendiri termasuk Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan gagal hadir ketika proses mengundi dibuat semalam.


“Semalam saya tak jangka bahawa kerajaan akan gagal, tapi kerajaan tak hilang majoriti pun, sebab mereka masih ada majoriti 114 atau 115 Ahli Parlimen daripada (220) Ahli Parlimen.

“Tetapi yang hadir semalam wakil kerajaan 83, kita pembangkang 86, ada 30 wakil kerajaan tak hadir mengundi semalam. Yang gagal semalam jangan salahkan kita, yang gagal semalam itu adalah disebabkan 30 Ahli Parlimen kerajaan tidak hadir termasuk Pekan, Bagan Datuk dan Pontian,” katanya ketika berucap di Parlimen.

Beliau juga menegaskan bahawa kegagalan usul tersebut tidak menyebabkan kerajaan hilang sokongan kerana pembangkang masih berpegang kepada [erjanjian persefahaman (MoU) dan tetap akan menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.


Semalam usul yang dibawa kerajaan di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) termasuk tempoh penahanan 28 hari selama lima tahun lagi gagal diluluskan dengan Ahli Parlimen yang bersetuju seramai 84 orang, manakala yang tidak bersetuju 86 orang dan 50 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Usul itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sebelum dibahaskan oleh 19 orang Ahli Parlimen. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram