KANGAR, 22 Mac (Bernama) -- Bekas exco Perlis, Datuk Ahmad Bakri Ali hari ini
membuat laporan berhubung tindakan seorang lelaki memuat naik hantaran
berunsur penghinaan dan tidak beradab menerusi laman Facebook terhadap Raja
Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd
Asri Zainul Abidin.
Ahmad Bakri membuat laporan itu bersama dua rakannya pada 3.17 petang di Balai
Polis Kangar.
“Saya terpanggil untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)
supaya perkara ini disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.
"Seorang pengguna Facebook telah menulis perkataan yang memperlekehkan,
menjatuhkan maruah serta memalukan terhadap Raja Perlis dan Jabatan Mufti
Negeri Perlis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata polis telah
mengenal pasti lokasi suspek dan sedang mendapatkan bantuan daripada PDRM di
sebuah negeri untuk menahan suspek.
“Alamat rumah suspek dan bukti sudah dikenal pasti. Kita akan tangkap suspek
dengan segera atau suspek yang akan serah diri sendiri,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel