Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mempunyai banyak analogi untuk menggambarkan hubungan dingin antara partinya dan Umno ketika kedua-dua parti dilihat semakin regang dalam satu demi satu pilihan raya.
"Belum ada kubur. Belum ada batu nisan. Dan tak ada sesiapa mengisytiharkan Muafakat Nasional (MN) ditamatkan.
"Jadi secara prinsipnya dia, walau dia tak nampak hidup tapi dia tak mati," katanya kepada wartawan selepas ceramah di pusat operasi pilihan raya Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram, Johor, malam tadi.
Ini mendorong wartawan bertanya kepadanya sama ada ia "mayat hidup".
"Kalau mayat, sudah mati. Tapi belum mati, jadi belum mayat lagi," kata Tuan Ibrahim.
Dia juga mengemukakan analogi yang menunjukkan bahawa PAS masih menyimpan sedikit harapan bahawa hubungannya dengan Umno boleh diperbaiki.
"Saya ibaratkan kalau di luar negara, musim sejuk kita nampak pokok tu macam mati.
"Tapi lepas musim tu baru dia akan keluar. Harapan kita sebenar, bukan harapan saja, bahkan PAS dan Bersatu, kita melihat penyatuan ummah ni kita dukung," katanya.
Tuan Ibrahim berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, di bawah panji PN, telah berusaha untuk melibatkan Umno tetapi tidak berjaya.
"Tiada jawapan, jadi tidak mengapa. Kami akan terus menegakkan PN. Kami tidak akan bercakap mengenai MN buat masa ini," katanya.
'Muafakat Nasional' adalah nama pakatan antara Umno dan PAS.
“Bagi Muafakat Nasional, kita tutup fail dulu,” tambahnya.
Ditanya sama ada MN sedang "nazak", Tuan Ibrahim menjawab: "Ia belum lagi berada di ICU (unit rawatan rapi)."
Dia mengakui sudah beberapa bulan jawatankuasa bersama Umno-PAS tidak bermesyuarat. Bagaimanapun, tambah Tuan Ibrahim, di peringkat peribadi, dia masih mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Umno.
“Dalam mesyuarat kabinet, Umno dan PN termasuk kami turut menyokong kepimpinan perdana menteri. Kami bekerja untuk rakyat, tidak kira parti.
“Dalam konteks itu, hubungan (Umno-PAS) adalah baik,” katanya.
Umno dan PAS terus renggang akibat desakan PAS untuk bekerjasama dengan Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno.
PN ialah gabungan yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP manakala Umno menerajui BN bersama rakan MCA, MIC dan PBRS.
BN telah melakukan gerakan politik untuk melemahkan Bersatu dan PN, walaupun mereka adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan.
Matlamatnya adalah untuk BN membina momentumnya untuk memperoleh dominasi dalam pilihan raya umum akan datang supaya ia boleh mentadbir sendiri.
BN dan PN bersaing sesama sendiri dalam pilihan raya negeri Johor.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel