Sanusi: Jika Umno pacak nisan pada MN, kita hafal talkin



Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor berkata partinya tidak pernah berhasrat untuk menguburkan Muafakat Nasional (MN) walaupun pimpinan di kedua-dua parti sering bertikam lidah. 

Namun, Menteri Besar Kedah itu berkata kemenangan berturut-turut BN dalam pilihan raya negeri akan mempercepatkan usaha untuk menamatkan kerjasama PAS dan Umno dalam MN.

"PAS tidak pernah berhasrat untuk menguburkan MN walaupun pemimpin daripada kedua-dua parti kini dilihat sering bertikam lidah.

“Saya nampak kemenangan berturut-turut BN di PRN akan mempercepatkan usaha mereka untuk memacak batu nisan pada MN.


“Namun Pas sejak awal lagi memang tak mahu tamatkan gagasan itu,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian semalam.

“Kita tunggu tengok sama ada Umno mahu pacak batu nisan tu, kalau berlaku, kita (PAS) hafal talkin lah,” tambahnya.

Kenyataannya itu hadir selepas BN menang besar pada pilihan raya negeri Johor pada Sabtu lalu, dengan undi popular 66.25 peratus.

MN merupakan kerjasama politik antara PAS dan Umno yang dimeterai melalui Himpunan Penyatuan Ummah, 14 Sept 2019. Ia ditubuhkan selepas Umno berdepan dengan kekalahan teruk pada pilihan raya umum (PRU) 2018.


Bagaimanapun, hubungan PAS dan Umno dilihat renggang selepas PAS menyertai PN.

PN ialah gabungan yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP.

MN dan PN bersaing sesama sendiri pada PRN Johor, 12 Mac lalu.

Pada PRN Johor, BN menang 40 kerusi DUN, dengan Umno menyumbang 33, MCA empat dan MIC tiga.

Pakatan Harapan pula menang 13 kerusi, PN meraih tiga kerusi dan Muda berjaya menang satu kerusi. – Mkini


Tuduh orang nak kuburkan MN, padahal dia yang tinggalkan MN demi PN. Kempen PRN Johor punya galak kutuk fitnah UMNO penyangak perompak, macam ni ke cara nak kerjasama dalam MN?





Join our Telegram Channel
Telegram