Najib jawab Sanusi, sebab cinta pada Bersatu, PAS dan kamu serang UMNO, saya tak sebut pun nama PAS



Bekas presiden Umno Najib Razak memulangkan paku buah keras kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Sanusi sebelum ini mendakwa kemenangan berturut-turut BN dalam pilihan raya negeri akan mempercepatkan usaha untuk menamatkan kerjasama PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Kata Najib, Umno tidak mahukan Bersatu sebab secara jelas parti itu nyatakan niat dan matlamat mereka ialah untuk menguburkan Umno buat selama-lamanya.


"Bagaimana pula Umno boleh berpakat dengan 'kawan' yang niat sebenar ialah untuk kuburkan 'kawan'?

"Tetapi PAS mahu Bersatu. Sebab cinta pada Bersatu, PAS (termasuk anda) bersama Bersatu melancarkan serangan demi serangan terhadap Umno," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS berkata, partinya tidak pernah berhasrat untuk menguburkan MN walaupun pimpinan di kedua-dua parti sering bertikam lidah.

Namun katanya, kemenangan berturut-turut BN dalam pilihan raya negeri akan mempercepatkan usaha untuk menamatkan kerjasama PAS dan Umno dalam MN.

"Kita tunggu tengok sama ada Umno mahu pacak batu nisan tu, kalau berlaku, kita (PAS) hafal talkinlah," kata pengarah pilihan raya PAS itu.


Sementara itu Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata, dalam situasi sekarang Umno kurang menyerang PAS.

"Secara peribadi, saya tak sebut pun nama PAS sepanjang kempen PRN Johor dan Melaka.

"Jadi, apa yang sepatutnya Umno buat sekarang?" soalnya. – Mkini





ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram