Loke setiausaha agung, Guan Eng pengerusi DAP baru



Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke telah diumumkan sebagai Setiausaha Agung DAP yang baru berikutan pemilihan parti di Kongres DAP hari ini.

Dia dipilih sebulat suara oleh jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) baru untuk memimpin parti.

Sementara itu, bekas setiausaha agung parti Lim Guan Eng berjaya memenangi kerusi dalam CEC dan kemudian dilantik sebagai pengerusi baru.

Satu lagi pelantikan yang mencuri tumpuan ialah Steven Sim, yang dilantik sebagai setiausaha penganjur kebangsaan, jawatan yang dipegang Loke sebelum ini.


Kali ini, bilangan jawatan CEC yang ada telah ditambah daripada 20 kepada 30 sejak pemilihan semula DAP pada 2017, dengan 17 muka baru turut terpilih.

Antara mereka yang baru menyertai CEC termasuk Young Syefura Othman, yang merupakan satu-satunya calon Melayu yang masuk dalam senarai itu.

Dia juga menggantikan Zairil Khir Johari sebagai satu-satunya wakil Melayu yang berjaya dilantik ke CEC. Zairil gagal mempertahankan jawatannya dalam CEC pada pemilihan kali ini.

Satu lagi penambahan baru yang mencuri tumpuan dalam CEC ialah Lim Hui Ying, yang merupakan anak kepada veteran DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang telah mengumumkan persaraan daripada politik awal hari ini. Sumber DAP berkata Kit Siang mahu menghadkan bilangan ahli keluarga dalam kepimpinan untuk mengelakkan dakwaan "dinasti politik".


Guan Eng berundur sebagai setiausaha agung, jawatan eksekutif tertinggi, susulan had tiga penggal yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Ronnie Liu, berjaya menduduki tempat ke-20 dalam senarai ahli CEC yang dipilih.

Ini walaupun dia secara terbuka mengkritik kepimpinan DAP dalam pelbagai perkara, termasuk calon pilihan raya Johor serta kerjasama parti mereka sebelum ini dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jannie Lasimbang juga berjaya dipilih ke CEC walaupun memperoleh jumlah undi yang lebih rendah berbanding beberapa calon lain berikutan kuota 30 peratus wanita DAP untuk jawatankuasa itu.

Tiga belas ahli yang berjaya mengekalkan jawatan CEC mereka juga menyaksikan rombakan dalam jawatan yang dipegang, dengan Gobind Singh Deo naik daripada tempat kedua pada pilihan raya lalu ke kedudukan pertama kali ini, dengan 1,782 undi.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut melonjakkan kedudukannya dalam senarai itu, daripada tempat ke-14 kepada tempat kedua dengan 1,641 undi.

Perubahan ketara lain termasuk Guan Eng jatuh dari tempat ketiga kepada kelapan (1,311 undi), Chong Chieng Jen jatuh dari ketujuh kepada kedudukan ke-16 (1,154), Teo Nie Ching daripada keenam kepada ke-19 (1,071) dan Liew Chin Tong daripada kedudukan kelima kepada ke-22 (1,008).

Sementara itu, tujuh daripada mereka yang dipilih ke CEC pada pemilihan semula 2017 tidak masuk senarai kali ini, termasuk Kit Siang yang telah mengumumkan bersara daripada politik pagi tadi.

Teng Chang Khim, yang berada di tempat ke-16 dalam senarai CEC pada pemilihan parti lalu, juga tidak bertanding semula kali ini.

Lima lagi yang bertanding semula dan tewas dalam pemilihan kali ini ialah Tony Pua, Chong Eng, Ngeh Koo Ham, Zairil Khir Johari dan V Sivakumar.

Sistem pemilihan DAP mengikut sistem dua peringkat di mana ahli memilih 30 calon teratas mereka ke CEC dan bukannya jawatan tertentu.

Tiga puluh teratas yang dipilih kemudiannya melantik sesama mereka untuk mengisi jawatan masing-masing dalam parti. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram