Remaja kemalangan patah dua tangan akibat bendera PN yang dipacak semberono



PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 tidak kurang seminggu lagi dan sudah tentu perang bendera kian rancak menjelang hari-hari terakhir sebelum proses pengundian sebenar dijalankan.

Bagaimanapun, di sebalik kerancakan itu, berlaku insiden tidak diingini terhadap seorang remaja perempuan.

Seorang pengguna Facebook, Norazlina Abd Rahman berkongsi tentang insiden kemalangan yang membabitkan anak perempuannya akibat pemasangan bendera milik Perikatan Nasional (PN) tanpa memikir faktor keselamatan.


"Malang tidak berbau, 2/3/22. Alhamdullilah, masih dipanjangkan umur.

"Kemalangan yang tak disangka. Leher dilibas dan hampir terbelit dengan bendera parti yang galak sempena PRN Johor.

"Jarang sangat dengar kes macam ini kan. Tapi itulah yang terjadi kepada anak saya.

"Pemasangan bendera tanpa memikir faktor keselamatan pengguna jalan raya menyebabkan anak saya mengalami kemalangan motor yang mengakibatkan kedua pergelangan tangannya patah dan retak.

"Laporan polis sudah dibuat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Norazlina turut berkongsi bendera tersebut yang panjangnya hampir 30 meter terus dipotong oleh orang awam selepas kejadian berkenaan.


Difahamkan, bendera itu dipasang berhampiran tepi jalan raya.

PRN Johor bakal menyaksikan seramai 239 calon daripada 11 parti politik termasuk calon bebas bertanding.

Daripada jumlah tersebut, Barisan Nasional (BN) dan PN akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di 30 DUN, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di 42 DUN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di 20 DUN, calon Bebas di enam kerusi, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di tujuh kerusi dan Parti Warisan Sabah (Warisan) di enam DUN. — Majoriti








Kesan libasan di leher






Join our Telegram Channel
Telegram