Saya luluskan, tapi PH yang tak teruskan projek lapangan terbang, kata Najib



PETALING JAYA: Cadangan pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang telah diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi projek itu ditangguhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), apabila ia mula berkuasa beberapa bulan kemudian, kata bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Beliau berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng telah mengucapkan terima kasih kepadanya kerana meluluskan projek pembesaran itu, yang akan dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Tetapi, projek itu tidak diteruskan apabila PH berkuasa pada Mei 2018, walaupun ia telah diluluskan dalam Belanjawan 2018.


“Sebab kerajaan PH gunakan alasan kerajaan tak ada duit dan ingin swastakan projek kepada kroni, bukan diusahakan oleh MAHB seperti diluluskan kerajaan BN dahulu,” katanya dalam catatan Facebook malam ini.

Beliau memetik laporan berita pada 2019, di mana Lim yang juga menteri kewangan ketika itu, berkata inisiatif kewangan swasta akan digunakan untuk membiayai pembesaran lapangan terbang itu.

“Jadi, kerajaan BN masa saya luluskan dan mulakan projek itu. Kerajaan PH masa ‘Atok mu’ (Dr Mahathir Mohamad) dengan menteri kewangan dan menteri pengangkutan dari DAP (Lim dan Loke Siew Fook) yang tangguhkan sebab mahu beri pada kroni,” kata Najib.

Projek itu sekali lagi ditangguhkan apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kuasa daripada PH pada 2020, akibat pandemik Covid-19 dan sekatan.


“Tapi yang DAP salahkan semalam ialah Najib dan kerajaan BN dahulu?” katanya.

Semalam, Najib dilaporkan meminta DAP “tanya Abah kau” – merujuk Muhyiddin Yassin, yang menerajui kerajaan PN ditubuhkan hasil daripada “Langkah Sheraton”.

Terdahulu, Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim dalam responsnya kepada Najib berkata, “Langkah Sheraton” yang menyebabkan cadangan pembesaran lapangan terbang itu dihentikan dan beliau menyalahkan kerajaan PN-BN.

“(Bahkan) selepas Umno dan BN mengambil alih kerajaan persekutuan pada Ogos 2021, projek pembesaran lapangan terbang masih digantung dan belum dihidupkan semula,” kata Sim. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram