Biden makin nyanyuk, tersasul sebut isteri sebagai Naib Presiden AS



WASHINGTON: Entah di mana silapnya Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden seperti keliru apabila tersasul menyebut isterinya memegang jawatan sebagai naib presiden semasa pentadbiran Barack Obama. 

Lapor Daily Mail, Biden, 79, memuji isterinya, Jill Biden, 70, di atas sumbangannya kepada ahli keluarga tentera selepas wanita itu dilantik sebagai penaja kapal selam USS Delaware semasa majlis pentauliahan di Wilmington, Delaware, Sabtu lalu. 

Wanita Pertama dipilih sebagai penaja kapal selam tersebut kerana dipercayai membawa tuah kepada peralatan ketenteraan itu.  


Kenyataan salah itu berbunyi: 

“Saya amat berbangga dengan hasil kerja yang dilakukan Jill sebagai Wanita Pertama menerusi inisiatif usahasama yang dicetuskan dengan Michelle Obama semasa ‘beliau’ menjadi Naib Presiden dan diteruskan sehingga kini,” katanya. 

Kenyataan itu merupakan kesilapan terkini Biden sehingga menyebabkan White House terpaksa menghantar transkrip terkini yang merujuk penggunaan ‘beliau’ kepada ‘saya’. 

“Saya amat berbangga dengan hasil kerja yang dilaksanakan beliau sebagai Wanita Pertama menerusi inisiatif usahasama yang dicetuskan dengan Michelle Obama, semasa ‘saya’ menjadi Naib Presiden dan diteruskan sehingga kini,” tulis transkrip rasmi itu. 

Parti Republikan menyifatkan Biden mengalami masalah kemerosotan kognitif sebagai sebab utama pentadbiran Biden sering berlaku kesilapan semasa menyampaikan ucapan dalam majlis rasmi. 


Baru-baru ini, Biden pernah berucap kepada tentera AS di Warsaw, Poland bahawa mereka akan dihantar ke Ukraine. 

Biden juga pernah mencadangkan mengenai AS mungkin terlibat dalam menggunakan senjata kimia di Rusia. 

Hujung bulan lalu, Presiden AS itu pernah menggesa perubahan rejim di Moscow dan mengatakan Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak layak kekal berkuasa. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram