Keluarga Yasin Sulaiman lancar tabung biaya peguam



Keluarga Yasin Sulaiman melancarkan tabung bagi mengutip sumbangan orang ramai untuk membiayai kos guaman penyanyi berkenaan yang berdepan pertuduhan berkaitan ganja, yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Abangnya, Mohamed Zain berkata, pihak keluarga akan menutup tabung tersebut sekiranya sumbangan yang diterima sudah mencukupi.


“Untuk menampung kos pembelaan bagi tuduhan yang amat berat ini, pihak keluarga Yasin ingin memohon kepada sesiapa yang berminat untuk memberi sumbangan agar dapat membantu Yasin mendapatkan pembelaan yang adil di mahkamah. 

“Bagi warga tempatan, anda boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun abang kepada Yasin, Mohamed Zain Sulaiman,” kata kenyataan itu.

Selain itu, hantaran berkenaan turut menyatakan, bagi sumbangan luar negara, sepupu Yasin di Amerika Syarikat iaitu Aida Maher telah menyediakan akaun Gofundme - platform kutipan dana awam.

Penyanyi Mimpi Laila itu yang kini ditempatkan di penjara Sungai Buloh didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret atas dua pertuduhan menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama.


Bagaimanapun, penyanyi berusia 46 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin. 

Pada masa sama, Mohamed Zain berkata, keluarganya berterima kasih atas sokongan dan bantuan diberikan mereka yang sudi.

“Pihak keluarga berterima kasih di atas sokongan dan bantuan yang diberikan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram