LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menetak mati bapa saudaranya dengan sabit pemotong buah sawit di Kampung Tradisi, Desa Kencana di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Samak Hassan berusia 55 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala, leher dan badan.
Kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan mangsa yang menegur anak buahnya supaya tidak sering memarahi ibu suspek yang juga kakaknya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Sapii Ahmad berkata, mangsa adalah seorang warga asing yang bekerja di daerah ini tanpa dokumen sah.
“Kejadian disaksikan seorang wanita yang sedang membasuh pakaian di kawasan berhampiran apabila suspek dilihat tiba-tiba menetak mangsa dari belakang.
“Suspek dikatakan menetak kepala mangsa menggunakan sabit pemotong buah sawit yang dibawanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, saksi yang ketakutan terus melarikan diri dari lokasi kejadian dan satu laporan polis dibuat oleh salah seorang penduduk kampung.
Susulan itu katanya, seorang suspek berusia 24 tahun yang juga anak saudara mangsa ditahan di salah sebuah rumah di kawasan ladang berkenaan pada hari yang sama.
Beliau berkata, turut dirampas ialah pakaian yang digunakan ketika kejadian dan suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif jenis methapetamine.
Join our Telegram Channel