Mayat lelaki Malaysia ditemui di ladang ganja Australia



PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai dibunuh, ditemui polis berdekatan Bathurst di New South Wales, Australia.

Mayat lelaki itu yang dipercayai Jacky Chong, ditemui kira-kira 3.30 petang semalam selepas polis memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

Menurut laporan news.com.au, polis berkata, mayat itu akan menjalani pemeriksaan forensik dan ujian DNA untuk koroner menyediakan laporan.


Penemuan mayat itu menyusul tiga lelaki berusia 22, 28 dan 33 tahun yang didakwa pada hujung bulan lalu berhubung kematian Chong.

Chong, 24, menetap di Sydney sejak 2016, namun dilaporkan tidak berhubung dengan keluarganya sejak 28 Dis lalu.

Keluarganya memberitahu polis, mereka percaya Chong mungkin bekerja di New South Wales sebelum dia hilang.


Minggu lalu, Komander Skuad Dadah dan Senjata Api, John Watson berkata, Chong didakwa terbabit dalam sindiket jenayah terancang sebelum dia “dibunuh dengan kejam”.

“Kami tahu Jacky bekerja untuk satu perusahaan jenayah membabitkan penanaman ganja di wilayah NSW (New South Wales) sekitar masa didakwa dia dibunuh. Keadaan kematiannya amat mengerikan.

“Kumpulan penjenayah ini terkenal menyasarkan individu muda dengan janji wang mudah, yang sering menyebabkan mereka bekerja di rumah penanaman haram di hartanah terpencil.” – FMT











Join our Telegram Channel
Telegram