Nurul Izzah umum tidak bertanding



Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar tidak akan bertanding dalam saingan merebut jawatan enam teratas PKR.

Bekas naib presiden PKR itu - yang meletak jawatan pada Dis 2018 - berkata dia sebaliknya akan menumpukan usaha menarik pengundi yang masih di atas pagar menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Dalam kenyataan di Facebook, Nurul Izzah berkata kerjanya akan dilakukan melalui kempen Ayuh Malaysia - yang diasaskannya bersama Rafizi Ramli. 

"Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi - saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia," katanya.


Rafizi, yang akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR, sebelum ini berkata pengundi atas pagar merupakan pengundi teras PKR dan Pakatan Harapan pada PRU 018.

Bagaimanapun, dia berkata golongan itu telah kecewa, dan usaha mesti dilakukan untuk memenangi mereka kembali.

Pengumuman Nurul Izzah itu dibuat selepas PKR menutup pencalonan presiden, timbalan presiden, dan empat jawatan naib presiden dalam pemilihan parti tahun ini.

Turut dipertandingkan ialah lima jawatan teratas dalam sayap Wanita dan Pemuda.

Dua puluh ahli jawatankuasa pusat akan mengadakan pemilihan kemudian.

Terdahulu, penyandang jawatan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan bahawa Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan presiden parti tanpa bertanding untuk penggal kedua.

Saifuddin sendiri akan bersaing bagi jawatan timbalan presiden menentang Rafizi.

Sementara itu, terdapat 18 calon untuk empat jawatan naib presiden - walaupun Malaysiakini dimaklumkan bahawa senarai itu hanya akan dimuktamadkan esok sekiranya terdapat sebarang bantahan atau penarikan diri.


Antara 18 pesaing itu adalah bekas ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, penyandang jawatan naib presiden melalui lantikan Chang Lih Kang, bekas ahli parlimen Kapar G Manivannan, dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Keempat-empat mereka dilaporkan berada dalam pasukan Rafizi.

Calon naib presiden lain ialah penyandang naib presiden Shamsul Iskandar Md Akin; penyandang ketua Wanita Fuziah Salleh; pengarah komunikasi Fahmi Fadzil; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador; dan Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid.

Turut bertanding ialah Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, Ketua PKR Terengganu Azan Ismail, bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub, bekas naib ketua Pemuda PKR S Thiban, Adun Sentosa G Gunarajah, Adun Chuah Michael Yek, Adun Bukit Selambau Dr R Summugam, dan Timbalan Ketua PKR Perak M A Tinagaran. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram