Puad Zarkashi dilantik speaker DUN Johor



PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi yang juga ADUN Rengit, disahkan akan dilantik sebagai speaker baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 hari ini.

Menurut sumber yang terlibat dalam keputusan itu yang tidak mahu dinamakan memberitahu FMT, Puad akan dipanggil menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan akan dilantik sebagai speaker baharu pada jam 9 pagi ini.


“Betul. Tuanku panggil Puad menghadap dan titah jadi speaker pada jam 9 pagi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada benar atau tidak Puad akan dilantik sebagai speaker baharu Johor.

Dalam pada itu, sumber itu turut mengesahkan ADUN Semarang, Samsolbari Jamali yang juga ketua Umno Bahagian Ayer Hitam akan dilantik sebagai timbalan speaker DUN Johor.

Puad merupakan ketua Umno Bahagian Batu Pahat dan pernah menjawat jawatan timbalan menteri pelajaran.


Sebelum ini, sejak era pentadbiran Abdul Ghani Othman sebagai menteri besar Johor, pelantikan speaker dibuat dalam kalangan bukan wakil rakyat bermula dengan Ali Hassan, Mohamad Aziz dan Suhaizan Kaiat.

Bagaimanapun dengan kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) Johor pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, sudah hampir pasti jawatan itu akan kembali disandang oleh ADUN kerajaan yang menang dalam pilihan raya berkenaan. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram