Lelaki tetak anak tak puas hati sebab duit



BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menyerang dan menetak anaknya kerana perselisihan faham berkaitan duit dalam kejadian di Kampung Awak, Teluk Bahang di sini malam tadi.

Difahamkan kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.30 malam di rumah mereka, apabila suspek yang berusia 40-an memarahi anak lelakinya, dipercayai berkaitan dengan duit, sebelum berlaku perang mulut antara mereka.

Menurut seorang saksi, lelaki yang berang itu kemudiannya menyerang anaknya yang berumur 20-an, dan menetaknya dengan 'senjata tajam'.


Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata suspek ditahan di lokasi kejadian oleh penduduk setempat sebelum ketibaan polis.

"Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek yang bekerja sendiri itu negatif dadah, dan dia kini direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata mangsa yang cedera di bahagian belakang akibat ditetak, dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut. – Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram