Benar pendatang tanpa dokumen bekerja ‘idea bodoh’, Saravanan digesa letak jawatan



PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh berkata, Menteri Sumber Manusia M Saravanan harus meletak jawatan kerana menyifatkan cadangan untuk membenarkan pendatang tanpa dokumen bekerja sebagai “idea bodoh”.

Pada pelancaran forum mengenai migrasi modal insan di Sabah minggu lepas, Saravanan berkata, tindakan terbaik adalah menghantar pendatang sedemikian pulang ke negara asal.


Katanya, kerajaan tidak seharusnya menggalakkan “pendatang haram datang ke negara kita”.

Harris berkata, isu membenarkan pendatang tanpa dokumen bekerja telah diputuskan oleh Jemaah Menteri, lapor Daily Express.

“Oleh itu, (jika) mana-mana menteri tidak bersetuju dengan keputusan Jemaah Menteri atau kerajaan persekutuan, beliau harus meletak jawatan. Ini adalah demokrasi berparlimen,” katanya.

Beliau berkata, pendatang tanpa dokumen yang bekerja secara tidak sah pada asalnya memasuki negara ini melalui “saluran yang betul” dan sepatutnya berada di Sabah selama 10 hingga 20 tahun.


“Bagaimanapun, jika tiada sebarang proses undang-undang selanjutnya, dokumen mereka menjadi lapuk,” katanya.

Harris juga berkata, pendatang tanpa dokumen dalam tenaga kerja memainkan peranan penting dalam ekonomi Sabah, terutamanya dalam sektor minyak sawit.

“Tanpa pekerja-pekerja ini, ekonomi Sabah akan lumpuh,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram