Dr M pertikai Agong undang Najib ke istana



Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak ke sebuah majlis di istana baru-baru ini dilihat sebagai tidak betul dan tidak molek.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata seseorang banduan tidak sepatutnya dijemput ke istana.

"Pandangan saya banduan tidak seharusnya dijemput ke istana. Ia tidak betul dan tidak molek.


"Ia seolah-olah menunjukkan ada sokongan tertentu daripada istana," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir hari ini diajukan soalan mengenai undangan Najib ke istana oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Mei lalu sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dan rungutan di kalangan mereka yang tidak bersetuju.

Ini susulan Najib disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, yang disifatkan sebagai memalukan negara dan terlibat dalam satu lagi perbicaraan berkaitan skandal kewangan terbesar di dunia membabitkan firma pelaburan negara, 1MDB.

Pada masa yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual menyampaikan keputusannya terhadap kes rasuah isterinya Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak pada 7 Julai.


Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Najib bahawa pengerusi Pejuang itu sudah dilihat sebagai tidak relevan lagi, Dr Mahathir berkata dia tidak ambil kisah dengan kenyataan berkenaan.

"Itu pendapat dia, orang lain mungkin ada idea lain.

"Dia ada hak untuk menganggap semua orang sebagai tidak relevan," katanya sinis.

Untuk rekod, Najib yang juga ahli parlimen Pekan melihat Dr Mahathir sebagai tidak relevan selepas parti Pejuang kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini. – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram