Kami akan dedah niat jahat Syed Saddiq – Pendakwa Raya



KUALA LUMPUR – Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin berjanji akan menunjukkan kesemua kesalahan yang dilakukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memiliki niat yang jahat, curang, tidak jujur serta bersubahat untuk melakukan kesalahan dalam pertuduhan di mahkamah

Menurutnya, pihaknya akan bergantung kepada kombinasi keterangan terus, keterangan ikut keadaan dan keterangan dokumentari.

“OKT (Syed Saddiq) di dalam kes telah dituduh dengan beberapa pertuduhan menyalahgunakan harta, pecah amanah dan penggubahan wang haram.


“Keterangan di bawah Seksyen 6, 7, 8 dan 9 langsung tidak memihak OKT.

“Kami juga tidak akan menggunakan anggapan di bawah Seksyen 409A Kanun Keseksaan di dalam membuktikan kes kami ke atas OKT kelak,” katanya pada penyataan awal pada hari pertama perbicaraan Syed Saddiq di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi.

Kes itu didengar oleh Hakim Azhar Abdul Hamid.

Seramai 40 saksi akan dipanggil pada perbicaraan kes itu.


Mahkamah sebelum ini menetapkan 21 dan 22 Jun, 4 hingga 8 Julai dan 18 hingga 22 Julai untuk mendengar kes tersebut.

Sementara itu, peguam, Lim Wei Jiet mendakwa dua pertuduhan mahkamah terhadap Syed Saddiq bermotif politik.

Tegas beliau, perkara itu terbukti apabila izin mendakwa kes tersebut telah pun dibuat pada  Ogos 2020 tetapi anak guamnya dituduh tahun lalu.

“Ini jelas menunjukkan pendakwaan ini wujud bermotifkan politik. Jadi kami harap nama Syed Saddiq akan dibersihkan dalam perbicaraan mahkamah kerana kami percaya dengan sistem keadilan di negara,” katanya dalam sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum perbicaraan bermula.

Sementara itu, Syed Saddiq, 29, yang pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen,  memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 25 November tahun lalu permohonan itu dibenarkan.


Syed Saddiq didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang pada 22 Julai 2021 manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram